STRUKTUR ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA MAHSPKL, KAKITANGAN & JAWATANKUASA HAL EHWAL WANITA
(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)
SEJARAH & PROFIL MASJID AL-HIDAYAH KG. SUNGAI PENCHALA
Masjid  Al-Hidayah Kg. Sungai Penchala terletak bersebelahan Taman Tun Dr.  Ismail Kuala Lumpur dan berada di bawah naungan Pusat Zon 6, Jabatan  Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur. Nama Al-Hidayah  yang memberi maksud ‘petunjuk’ diputuskan hasil persetujuan antara  allahyarham pewakaf iaitu Tuan Haji Mohamed Sanusi bin Baki dengan Dato’  Hj. Che Mat bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah  Persekutuan (JAWI) pada tahun 2006 iaitu tahun masjid ini mula dibina. 
Tuan  Haji Mohamed Sanusi bin Baki dilahirkan pada tanggal 2 Mac 1950 di  Chemor, Perak. Berkelulusan dalam bidang Ekonomi dari Queens University,  United Kingdom. Beliau pernah berkhidmat sebagai penjawat awam di  Kementerian Koperasi, Kementerian Pelajaran dan memegang jawatan  terakhir sebagai Setiausaha Tetap ketika bertugas di Kementerian  Kesihatan. Setelah bersara, beliau menguruskan perniagaan sendiri dengan  menjadi pembekal barang-barang keperluan kepada Kementerian Kesihatan  dan Kementerian Pertahanan. 
Beliau  bersama isterinya, Hjh. Asiah binti Ahmad telah mewakafkan sebanyak 2  ekar tanah bernilai RM2 juta dan turut menyumbang sebanyak RM5 juta bagi  kerja-kerja membangunkan masjid ini. Secara keseluruhannya, masjid yang  tersergam indah ini bernilai lebih RM7 juta. Manakala untuk kerja-kerja  keceriaan masjid, kos bernilai lebih RM1 juta turut disumbangkan oleh  individu-individu lain yang bermastautin di dalam kariah ini. Walau  bagaimanapun, Hj. Mohamed Sanusi telah kembali ke Rahmatullah pada 8  November 2006 sebelum dapat melihat masjid tersebut siap disempurnakan.  Seterusnya urusan amanah wakaf berkenaan telah diteruskan oleh anak  perempuan beliau iaitu Hjh. Faridah bt. Hj. Mohamed Sanusi. 
Laungan  azan pertama berkumandang di corong masjid pada 19 September 2008   iaitu 10 hari terakhir Ramadhan 1429 bagi menunaikan solat Jumaat  dengan khutbah dibaca serta diimamkan oleh Ustaz Mohamed bin Ab. Rahman.  Masjid ini mempunyai 2 tingkat dewan solat utama yang mampu menampung  1500 jemaah dalam satu-satu masa. Buat masa ini, dianggarkan lebih 1000  jemaah yang terdiri daripada masyarakat setempat, kakitangan kerajaan  dan swasta serta ahli korporat yang bekerja dan mendiami di sekitar  kawasan ini mengunjungi masjid pada setiap hari Jumaat. 
Ahli  kariah masjid ini terdiri daripada penduduk yang tinggal berhampiran  seperti masyarakat di Taman Villa Istimewa, Taman Villa Maarof, Kg.  Palembayan, Kg. Palembayan Indah, Taman Sri Penchala, Taman Penchala  Indah, Taman Bukit Rahmat dan Kg. Boyan. 
Masjid  ini turut dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, 2 bilik kelas untuk  aktiviti kuliah, 2 unit kediaman pegawai masjid, tempat letak kereta  serta kafetaria untuk kemudahan masyarakat setempat mengadakan majlis  kenduri dan kesyukuran serta aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.
Masjid  ini ditadbir oleh 3 orang pegawai lantikan JAWI secara tetap yang  terdiri daripada seorang Pegawai Hal Ehwal Islam, seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan seorang  Pembantu Hal Ehwal Islam. Di samping itu, pentadbiran masjid turut  dibantu oleh 3 orang Imam Ratib, 3 orang Bilal Ratib, seorang noja dan  11 orang Ahli Jawatankuasa Masjid bagi melancarkan kerja-kerja  pengurusan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti masjid.



