ARTIKEL

ARTIKEL 1 :


ARTIKEL KHAS SEMPENA MAULIDURRASUL 1433H

RASULULLAH PENYELAMAT UMMAH

Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”

Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia menyebut-nyebut tentang kelahiran bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Aminah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman ketika kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada keadilan Islam. Kehebatan nabi Muhamamd s.a.w bukan sahaja diiktiraf oleh para sahabat malah turut diakui oleh musuh Islam sebagaimana ungkapan kata-kata daripada ‘Urwah bin Ath-Thaqafi yang ditugaskan untuk berunding dengan nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah :

“Demi Allah! Aku pernah menemui raja-raja Rom, Farsi dan Habsyah. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat raja itu disanjung dengan membesarkannya seperti para sahabat nabi Muhammad melakukannya kepada nabi Muhammad. Demi Allah! Jika baginda mengeluarkan kahak nescaya ia akan jatuh ke atas tangan salah seorang daripada mereka lalu disapukan dikulit dan mukanya. Apabila baginda menyuruh sesuatu maka mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan suruhannya. Apabila baginda berwudhu’, mereka seperti mahu berperang kerana berebut-rebut untuk mengambil air wudhu’nya. Kalau baginda bercakap maka semuanya diam dan jika mereka bercakap akan direndahkan suara kerana menghormatinya. Mereka tidak merenung tajam kepadanya kerana menghormatinya. Baginda telah mengemukakan suatu rancangan yang baik untuk kamu wahai pemimpin Quraisy maka terimalah”.

Begitu juga kehebatan para sahabat nabi yang bermati-matian mempertahankan nabi dan Islam sebagaimana diungkapkan oleh panglima Maharaja Rom bahawa kerajaan Rom pasti jatuh ditangan tentera Islam di mana mereka bukan manusia sebarangan iaitu ahli ibadat beribadat pada malam hari, tangkas seperti singa di medan perang di siang hari, sentiasa bersembahyang, berpuasa, tidak pernah meminum arak, tidak berzina malah andaikata anak pemimpin mereka sendiri yang mencuri nesaya dikerat tangannya. Setiap tentera Islam berlumba-lumba mati syahid sebelum saudaranya yang lain.
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
Maksudnya : “Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.”

Sempena kedatangan bulan Maulidurrasul maka kita sepatutnya menggandakan lagi usaha dalam menonjolkan kehebatan nabi dan sistem Islam yang telah disampaikannya kepada kita. Tanamkan dalam diri umat Islam bahawa inilah contoh teladan yang sebenar untuk diikut terutama ketika semakin ramai umat Islam sendiri tidak lagi mengenal nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia hebat dan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan sesuai dengan pengutusannya untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Setiap kali kita menyebut bagaimana dahsyatnya zaman jahiliah di mana nafsu serakah menjadi ikutan sehingga anak perempuan ditanam hidup-hidup di samping seribu macam penindasan dan kesesatan yang lain. Namun begitu bila berdepan pula dengan jahiliah moden di mana ubat mujarrab iaitu al-Quran ada di depan mata tetapi racun diguna pakai sehingga bukan setakat anak perempuan yang dibunuh malah anak lelaki turut menjadi mangsa di samping pelbagai penyakit sosial yang lain terus merebak dan membarah.

Malahan pada tahun ini, sekali lagi berlakunya pertembungan antara sambutan memuja Paderi Valentine yang berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi dengan sambutan memperingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w. Ramai di kalangan umat Islam terutama golongan remaja lebih teruja untuk menyambut Hari Kekasih berbanding mencontohi nabi Muhammad s.a.w manusia Agong yang begitu kasih pada umatnya. Ingatlah bahawa kasih sayang wajib ada sepanjang masa bukan pada hari tertentu sahaja serta saluran untuk menyatakan kasih sayang mestilah bertepatan dengan syarak bukannya mengikut hawa nafsu apatah lagi meniru budaya agama lain. Manusia yang paling wajib kita kasih ialah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.

Sehubungan dengan ini kita menyeru agar umat Islam supaya mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said al-Khudri: Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka.”

Pengutusan nabi Muhammad s.a.w berjaya mengubah dunia kepada keadaan yang lebih baik yang bukan sahaja dirasai oleh umat Islam malah seluruh umat manusia serta makhluk Allah yang lain. Namun pada hari ini suasana gelap jahiliah kembali mencemari dunia termasuk di negara umat Islam sendiri akibat sistem Islam digantikan dengan sistem jahiliah. Contohnya cara pemakaian yang mendedah aurat lebih suka dipakai sama ada lelaki atau perempuan. Malah kaum perempuan lebih suka memakai bertelanjang dengan mendedah tubuh dan berpakaian ketat, yang memakai tudung tetapi tubuhnya pula terdedah sana-sini, malah ada yang bertudung seperti paderi Perempuan dan juga fesyen bertudung tetapi menampak jelas bentuk rambut yang disanggul seperti bonggok unta yang dimurkai oleh nabi semakin digemari.

Itu belum dikira orang lelaki yang gemar memakai seluar pendek, memakai gelang, rantai leher, subang telinga dan pelbagai macam cara jahiliah yang dianggap baik sedangkan hakikatnya lebih buruk daripada binatang. Begitu hebatnya godaan syaitan dan jarum Yahudi yang menyerang cara pemakaian umat Islam. Inilah antara kesan dahsyat bila umat Islam tidak menjadikan nabi sebagai contoh teladan sebaliknya para artis, pemain sukan dan lain-lain sebagai ikutan. Malah ketika negara sedang menghadapi masalah penyakit tekanan jiwa yang begitu kronik maka sepatutnya cara Islam diguna pakai seperti nasihat Ibnu Mas’ud bila jiwa kami bercelaru maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu :

“Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah.” Mudah-mudah Allah s.w.t sentiasa merahmati dan mempermudahkan segala urusan kehidupan kita.

ARTIKEL 2 :


ARTIKEL KHAS SEMPENA ISRAK MIKRAJ

URUTAN RINGKAS PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU DALAM ISRAK MIKRAJ KE ATAS RASULULLAH SAW

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk pada 27 Rejab (29 Jun 2011 ini) InsyaAllah. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan. Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah SAW.

Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke Saidatul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Sejarah Perjalanan Israk Mikraj

Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah SAW ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah) Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah :

I.    Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
II.  Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.

III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga

Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib, antaranya :-

A. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

B. Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

C. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

D. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

E. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

F. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

G. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

H. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

I. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

J. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.

K. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

L. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensiakan umurnya sampai tua.

M. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia’, aulia’ dan mursalin menjadi makmum. Pad suatu tika Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

a) Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.

b) Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

c) Langit Ketiga: Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

d) Langit Keempat: Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi Idris AS.

e) Langit Kelima: Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

f) Langit keenam: Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan nabi-nabi.
g) Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

h) Langit Ketujuh : Baginda naik tangga langit ke tujuh dan masuk langit ke tujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di BaitulMa’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi Ibrahim AS bersabda. “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda : “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu : Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.

i) Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

j) Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.

k) Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan malaikat Malik penunggunya.

l) Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul- Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

m) Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya. Allah SWT: Ya Muhammad Rasullah: Labbaika Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah: Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT : Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelum mu. Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakan panji-panji Liwa-ul- hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di bawah panji-panji mu. Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak
50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya
terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid alHaram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. Wallahua’lam.

ARTIKEL 2


TANDA HATI KITA MATI

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1.  Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2.   Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3.   Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4.   Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5.    Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6.    Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7.    Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8.    Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9.    Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah iaitu dengan berzikir. Firman Allah:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوب
 
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Al-Rad : Ayat 28)