PENTADBIRAN

STRUKTUR ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA MAHSPKL, KAKITANGAN & JAWATANKUASA HAL EHWAL WANITA
(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)






SEJARAH & PROFIL MASJID AL-HIDAYAH KG. SUNGAI PENCHALA

Masjid Al-Hidayah Kg. Sungai Penchala terletak bersebelahan Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur dan berada di bawah naungan Pusat Zon 6, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur. Nama Al-Hidayah yang memberi maksud ‘petunjuk’ diputuskan hasil persetujuan antara allahyarham pewakaf iaitu Tuan Haji Mohamed Sanusi bin Baki dengan Dato’ Hj. Che Mat bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 2006 iaitu tahun masjid ini mula dibina.

Tuan Haji Mohamed Sanusi bin Baki dilahirkan pada tanggal 2 Mac 1950 di Chemor, Perak. Berkelulusan dalam bidang Ekonomi dari Queens University, United Kingdom. Beliau pernah berkhidmat sebagai penjawat awam di Kementerian Koperasi, Kementerian Pelajaran dan memegang jawatan terakhir sebagai Setiausaha Tetap ketika bertugas di Kementerian Kesihatan. Setelah bersara, beliau menguruskan perniagaan sendiri dengan menjadi pembekal barang-barang keperluan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Beliau bersama isterinya, Hjh. Asiah binti Ahmad telah mewakafkan sebanyak 2 ekar tanah bernilai RM2 juta dan turut menyumbang sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja membangunkan masjid ini. Secara keseluruhannya, masjid yang tersergam indah ini bernilai lebih RM7 juta. Manakala untuk kerja-kerja keceriaan masjid, kos bernilai lebih RM1 juta turut disumbangkan oleh individu-individu lain yang bermastautin di dalam kariah ini. Walau bagaimanapun, Hj. Mohamed Sanusi telah kembali ke Rahmatullah pada 8 November 2006 sebelum dapat melihat masjid tersebut siap disempurnakan. Seterusnya urusan amanah wakaf berkenaan telah diteruskan oleh anak perempuan beliau iaitu Hjh. Faridah bt. Hj. Mohamed Sanusi.

Laungan azan pertama berkumandang di corong masjid pada 19 September 2008  iaitu 10 hari terakhir Ramadhan 1429 bagi menunaikan solat Jumaat dengan khutbah dibaca serta diimamkan oleh Ustaz Mohamed bin Ab. Rahman. Masjid ini mempunyai 2 tingkat dewan solat utama yang mampu menampung 1500 jemaah dalam satu-satu masa. Buat masa ini, dianggarkan lebih 1000 jemaah yang terdiri daripada masyarakat setempat, kakitangan kerajaan dan swasta serta ahli korporat yang bekerja dan mendiami di sekitar kawasan ini mengunjungi masjid pada setiap hari Jumaat.

Ahli kariah masjid ini terdiri daripada penduduk yang tinggal berhampiran seperti masyarakat di Taman Villa Istimewa, Taman Villa Maarof, Kg. Palembayan, Kg. Palembayan Indah, Taman Sri Penchala, Taman Penchala Indah, Taman Bukit Rahmat dan Kg. Boyan.

Masjid ini turut dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, 2 bilik kelas untuk aktiviti kuliah, 2 unit kediaman pegawai masjid, tempat letak kereta serta kafetaria untuk kemudahan masyarakat setempat mengadakan majlis kenduri dan kesyukuran serta aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.

Masjid ini ditadbir oleh 3 orang pegawai lantikan JAWI secara tetap yang terdiri daripada seorang Pegawai Hal Ehwal Islam, seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan seorang Pembantu Hal Ehwal Islam. Di samping itu, pentadbiran masjid turut dibantu oleh 3 orang Imam Ratib, 3 orang Bilal Ratib, seorang noja dan 11 orang Ahli Jawatankuasa Masjid bagi melancarkan kerja-kerja pengurusan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti masjid.